Permainan Age of Empires (permainan video)

Age of Empires memerlukan pemain untuk mengembangkan suatu tamadun dari segelintir pemburu-pengumpul menjadi satu empayar besar pada Zaman Besi.[3] Untuk memastikan kemenangan, pemain mesti mengumpulkan sumber untuk membayar unit dan bangunan baharu serta teknologi yang lebih maju. Sumber mesti dipelihara, kerana tidak ada sumber baru yang tersedia ketika permainan berlangsung; sebagai contoh, pokok yang ditebang tidak akan tumbuh semula.[4][5]

Pemain boleh memilih daripada dua belas tamadun, masing-masing dengan ciri-cirinya tersendiri, termasuk dari segi teknologi dan unit yang tersedia. Setiap tamadun mempunyai teknologi yang unik bagi mereka, sehingga tidak ada peradaban yang memiliki semua teknologi yang ada dalam permainan tersebut.[6]

Komponen utama permainan ialah kemajuan sepanjang empat zaman - Zaman Batu (Mesolitik/Nomad/Paleolitik), Zaman Alat (Neolitik), Zaman Gangsa dan Zaman Besi. Kemajuan antara zaman akan dijalankan di Pusat Bandar, dan setiap kemajuan membawa pemain teknologi, senjata, dan unit baru.[5][7]

Mod permainan

Permainan ini mempunyai empat kempen pemain tunggal di mana pemain dikehendaki menyelesaikan objektif tertentu. Kempen adalah kumpulan senario yang diselesaikan secara linear. Kempen ini mengikuti sejarah peradaban Mesir, Yunani, Babylon dan Yamato; ada juga kempen lengkap yang dibuat khas bagi versi demo yang mengikut peristiwa di Empayar Hittite.[8] Selain kempen, ada mod permainan yang dipanggil "peta rawak", di mana peta yang berbeza dihasilkan untuk setiap permainan baru. Variasi peta rawak, seperti "kalah mati" yang mempunyai banyak sumber juga tersedia.[5][9][10]

Age of Empires memudahkan permainan dalam talian dan rangkaian dengan sehingga 8 orang secara serentak. Kerana permainan rangkaian kurang canggih daripada permainan moden, lat dan pemutusan sering berlaku.[11] Sehingga 19 Jun 2006, permainan multipemain disokong oleh Microsoft Gaming Zone. Pada ketika itu, Zone telah menamatkan sokongan terhadap kebanyakan permainan CD-ROM, termasuk Age of Empires dan Age of Empires II: Zaman Raja-raja. [12]

Penciptaan senario buatan pengguna atau siri senario (kempen) untuk permainan dibolehkan menggunakan alat pembina senario. Alat ini lebih mudah dan senang dipelajari berbanding editor setanding yang digunakan dalam permainan yang lebih moden, tetapi hasilnya mempunyai kemampuan yang lebih sedikit. Ensemble Studios menggunakan pembina senario untuk membuat kempen pemain tunggal yang disertakan dengan permainan runcit. Terdapat pelbagai laman web tidak rasmi di mana senario tersuai boleh dihantar dan dimuat turun. Pada akhir tahun 2005, didapati bahawa dengan memodifikasi pelbagai fail data, unit yang ada di dalam versi beta permainan dapat digunakan di dalam pembina senario. Beberapa unit aneh seperti kapal angkasa dan pahlawan yang menukar hak milik apabila unit bergerak menghampirinya dijumpai. Melalui penyuntingan data, peraturan perletakan unit juga dapat diubah. Ini membolehkan unit diletakkan di atas apa-apa jenis rupa bumi dan di atas unit lain. Penemuan penting lain termasuk templat rupa bumi baharu, mod untuk menggandakan mata pukulan setiap unit dan alat untuk mengubah ukuran saiz peta.[13]

Tamadun

Pemain memilih untuk bermain sebagai salah satu daripada 12 tamadun. Tamadun tersebut disusun mengikut empat gaya seni bina yang berbeza, berdasarkan seni bina Asia Timur, Mesopotamia, Mesir dan Yunani, yang menentukan penampilan mereka dalam permainan.[14]

Teknologi

Teknologi dikaji di bangunan tertentu, yang umumnya berkaitan; sebagai contoh, penyelidikan keagamaan dilakukan di kuil dan zirah yang lebih baik diteliti di storan dalam lubang.[5] Kemajuan teknologi terdapat dalam banyak kategori, seperti peningkatan ketenteraan (senjata dan zirah yang lebih baik untuk unit), peningkatan ekonomi (meningkatkan kecekapan pengumpulan sumber), peningkatan keagamaan (kadar penukaran hak milik unit yang lebih pantas dan lebih banyak kemampuan untuk para pendeta) dan peningkatan infrastruktur (kubu lebih kuat dan bangunan yang lebih berdaya tahan). Apabila penyelidikan teknologi asas selesai, teknologi yang lebih maju mungkin tersedia. Beberapa teknologi tidak tersedia untuk tamadun tertentu.

Teknologi memainkan peranan yang sangat penting dalam strategi permainan.[15] Apabila sesuatu tamadun berkembang sepanjang zaman, teknologi menjadi semakin mahal, yang menjadikan pengumpulan sumber daya yang diperlukan untuk mengaji mereka amat sukar. Akibatnya, menyeimbangkan tenaga kerja pekerja dengan pelbagai sumber dapat membuat perbezaan antara kemenangan dan kekalahan.

Unit

Pemain mengawal pelbagai unit awam dan tentera.[15] Sebilangan besar unit dapat dinaik taraf melalui penyelidikan (contoh: pengumpulan lebih pantas bagi orang kampung, zirah yang lebih kuat untuk unit ketenteraan, dan julat tembakan yang lebih lama untuk pemanah).

Unit darat adalah yang paling lazim dalam permainan. Penduduk kampung merupakan unit paling asas dalam Age of Empires. Fungsi utama mereka adalah untuk mengumpulkan sumber, menebang pokok untuk kayu, menambang batu dan emas, dan memburu, menuai, bertani, atau menangkap ikan untuk memperoleh makanan.[15] Penduduk kampung boleh membina bangunan dan memperbaiki bangunan dan kapal tentera laut, dan mampu terlibat dalam persaingan melee apabila perlu. Pendeta ialah unit bukan tempur yang dapat menyembuhkan unit bersekutu atau menukar haluan unit musuh (dalam hal ini unit musuh sasaran mengubah kesetiaan kepada pihak anda). Unit infantri, seperti askar belantan, askar pedang, dan hoplite berlawan secara dekat. Unit penunggang termasuk rata, askar berkuda, dan gajah perang . Pemanah, bertunggang mahupun berjalan kaki, menyerang dari jarak jauh. Unit pengepungan terdiri daripada dua jenis: tarbil dan balista. Tarbil melontarkan batu yang menghasilkan kerosakan berkesan luas, merosakkan atau mencederakan semua unit di kawasan kecil, dan sangat berkesan terhadap bangunan dan unit berkumpulan. Balista kurang kuat dalam merosakkan atau mencederakan bangunan dan unit, tetapi menembak dengan lebih cepat dan lebih murah berbanding tarbil.

Unit-unit nautikal sering memainkan peranan terasing, tetapi penting untuk kemenangan. Bot nelayan serupa dengan penduduk kampung kerana mereka dapat mengumpulkan ikan, namun di lautan dalam. Kapal pedagang memperdagangkan sumber dari stok dan menukarnya dengan emas di dok pemain lain, dengan jumlah emas yang diperoleh relatif terhadap jarak antara kedua-dua dok. Kapal pengangkutan membawa unit darat dari satu kawasan darat ke kawasan lain merentasi segala jenis badan air. Selain menyerang kapal musuh, kapal perang sangat efektif dalam menyerang unit darat yang berada di persisiran pantai (kerana unit jarak dekat tidak dapat melawan balik). Terdapat dua jenis kapal perang iaitu ghali yang menembakkan anak panah atau trireme yang melancarkan misil kuno atau batu (sangat berkesan terhadap bangunan di persisiran pantai).

Jenis unit adalah sama, tanpa mengira tamadun (walaupun sesetengah tamadun tertentu mungkin mempunyai variasi unit yang lebih baik). Maka, sebagai contoh, pahlawan pedang lebar Choson sama dengan pahlawan pedang lebar Parsi atau Phoenicia, sebagaimana yang askar busur, askar kapak, askar pedang pendek, askar berkuda, dan sebagainya. Sebilangan zirah dan pakaian adalah tidak tepat dari segi sejarah, seperti askar pedang panjang yang lebih menyerupai pengawal pretoria Rom. Beberapa unit juga tersedia dalam permainan untuk tamadun yang mengikut sejarah tidak memilikinya; hoplite dapat dilatih oleh setiap tamadun kecuali Parsi, dan beberapa tamadun Asia tengah dapat melatih askar Legion dan Centurio, sementara Yamato dapat mencipta trireme.

Bangunan

Pusat Bandar berupakan salah satu bangunan terpenting dalam permainan. Di sini penduduk kampung diciptakan, dan kemajuan zaman dikaji.[15] Di dalam kebanyakan senario, setiap pemain bermula dengan satu Pusat Bandar; keupayaan untuk membina beberapa Pusat Bandar dibuka akses dengan pembinaan Pusat Kerajaan semasa Zaman Gangsa. Pusat Bandar menampung ruang penduduk bagi empat unit. Untuk mencipta lebih banyak unit, rumah mesti dibina. Setiap rumah menampung empat unit, dan walaupun sejumlah rumah dapat dibina, mereka hanya dapat menampung sebanyak lima puluh unit secara keseluruhannya.

Unit ketenteraan dihasilkan di bangunan tertentu yang relevan dengan bidang mereka. Semua unit laut dibuat di dok. Tembok dan menara merupakan bangunan perkubuan (Age of Empires merupakan salah satu permainan strategi masa nyata pertama yang menyertakan tembok yang cukup kuat untuk membentuk pertahanan yang munasabah). Ladang digunakan untuk menghasilkan makanan. Jelapang, storan dalam lubang, dan Pusat Bandar digunakan untuk menyimpan sumber yang dikumpul oleh penduduk kampung.

Struktur keajaiban merupakan monumen besar yang mewakili pencapaian seni bina pada masa itu, seperti Piramid Mesir. Mereka memerlukan sejumlah besar sumber untuk dibina dan dibina dengan sangat perlahan. Struktur keajaiban tidak dapat menghasilkan unit atau membuat kajian. Dalam senario dengan keadaan Kemenangan Standard, pemain boleh menang dengan membina struktur keajaiban dan mempertahannya selama 2,000 tahun (kira-kira 10 minit di dunia nyata). Membina struktur keajaiban juga meningkatkan skor pemain, yang bermanfaat dalam permainan "skor". Pemain biasanya menjadikannya keutamaan utama untuk menghancurkan struktur keajaiban musuh, terutamanya dalam keadaan kemenangan standard. Atas sebab ini dan kerana struktur keajaiban agak mudah dimusnahkan, struktur keajaiban mesti dijaga dengan baik sepanjang masa.[14]

Rujukan

WikiPedia: Age of Empires (permainan video) http://www.ageofempires.com/ http://www.allgame.com/cg/agg.dll?p=agg&sql=1:714 http://artho.com/age/lag.html http://cdmag.com:80/articles/017/163/best_of_year.... http://www.cdmag.com:80/articles/009/198/top_20_de... http://www.cdmag.com:80/news/oldnews1.html http://www.computerandvideogames.com/article.php?i... http://www.ensemblestudios.com/Games/AgeOfEmpires/... http://www.gamasutra.com/features/20031126/carless... http://www.gamecenter.com/News/Item/0,3,0-2190,00....